Posted by: syamsalleh | February 5, 2009

Teratai Demam (Bahagian 9)

Oleh : Syam Salleh

Mak Teratai tergesa-gesa. Selendang putih yang tersangkut di tiang segera dicapai. Kepalanya yang hampir dipenuhi uban ditudungi. Mak Teratai sudah tidak kisah lagi untuk mengunci rumahnya. Dulang-dulang tembaga dan ceper-ceper perak peninggalan ibunya dulu tidak dapat menandingi kasih sayangnya terhadap Teratai. Set pinggan mangkuk Noritake edisi terhad yang dibeli di Jepun dulu tidak bererti tanpa Teratai. Sofa jati yang berukir penuh buatan Bali dan tv plasma 42 inci berjenama Sony yang dilengkapi sistem pembesar suara tidak mempunyai harganya lagi kalau dia tidak menemui anaknya itu.

Mak Teratai lantas terjun masuk ke kolek untuk mudik ke rumah Teratai. Bukan tiada jalan ke rumah Teratai, cuma lebih pantas kalau berdayung berbanding berjalan. Kalau berjalan memakan masa 45 minit mengikut kadar langkah kaki Mak Teratai yang agak perlahan walaupun jaraknya tidak sampai 1km. Lagipun kaki tua Mak Teratai telah pun uzur. Kakinya mudah letih lebih-lebih lagi untuk menanggung berat badannya yang agak semangat itu.

Maka berdayunglah Mak Teratai. Kelihatan Kak Bangau yang mengambil alih Kiambang sebagai pembawa mulut di desa itu. Bukan itu sahaja Kak Bangau juga telah menjadi Ketua Puteri UMNO cawangan Tasik Permai, juga setelah pemergian Kiambang. Oleh kerana telah lanjut usia, dia telah menyertai sayap Wanita pula tahun lepas. Tetapi dia tidak lagi dicalonkan untuk apa-apa jawatan dalam parti kerana tabiatnya yang membawa mulut dan menjaja cerita telah pun sampai ke Dato’ Seri Ketua Wanita dan Dato’ Seri Naib Ketua Wanita. Rupanya dakwaan Dewan Muslimat PAS dan Persatuan Ibu Tunggal, sebuah badan NGO, yang telah lama menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap beliau benar belaka.

“Ke mana, Mak Teratai? Macam lipas kudung gayanya” tanya Kak Bangau.

Mak Teratai terus memalingkan mukanya. Dia sudah tidak sanggup lagi bertegur sapa dengan Kak Bangau. Kak Bangau adalah insan yang telah menjaja cerita kononnya adiknya Kiambang mati terjelir lidah kerana sering menabur fitnah. Kak Bangau juga telah membawa mulut kononnya Kiambang mati mata terbeliak kerana terlihat perbuatan-perbuatannya yang hina.

Kak Bangau tidak patut berkata demikian. Padahal Kak Bangau sendiri tidak datang menziarahi jenazah Kiambang kerana menyertai rombongan ke Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. Menurut kata ahli rombongan, tidak dapat dipastikan kesahihan ceritanya, Kak Bangau telah menghilangkan diri semasa lawatan tersebut. Mereka hanya menemui Kak Bangau ketika menaiki bas persiaran dengan jinjingan beg kertas Isetan yang sendat dengan pakaian dan beg berjenama.

bersambung…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: