Posted by: syamsalleh | December 13, 2008

Teratai Demam (Bahagian 6)

“Usahlah abang ke sana. Duduklah disini menemani Teratai. Tak lama lagi kebahlah demam ni. Lagipun kalau abang pergi, siapa yang nak menguruskan rumahtangga. Siapa yang akan mempersiapkan makan minum Teratai. Siapa yang akan menjaga Teratai.” Teratai merayu suaminya. Permintaan Teratai ada asasnya. Sejak Teratai mengahwini Katak, dia telah dipencilkan oleh ibunya sendiri.

“Abang pergi sekejap saja. Abang pergi pagi ini, esok abang balik. Kalau sempat abang balik hari ni juga. Tapi cuaca tak menentu.” Terang si Katak. “Abang harus bertemu dengan Pak Bakau. Dia mungkin ada ubat untuk demam Teratai. Kalau tidak pun dia boleh memberi petunjuk ke dukun yang berhampiran. Teratai sabar ye.” Ujar Katak sambil tersenyum. Senyuman yang mengaburi kesedihannya. Senyuman yang membalut tangisan di dalam hatinya. Senyuman yang merupakan harapan untuk Teratai. Senyuman yang melindungi rasa sangsi dalam mindanya.

“Sebelum abang pergi, abang pergi jumpa mak sekejap. Minta tolong dia jenguk-jengukkan Teratai.” Kata Katak lagi. Tersentap Teratai mendengar keterangan suaminya. Peristiwa 10 tahun lalu kembali terpapar di depan mata. Kata-kata makian ibunya terngiang-ngiang di telinga Teratai.

“Sekarang kau sudah menikah dengan Katak. Segala urusanmu bukan lagi hal bagi mak tau. Pergilah ikut suami kesayanganmu itu. Jangan pernah pandai-pandai mahu pulang ke mari lagi. Tiada tempat lagi di rumah ini untuk kau dan keturunan kau. Berambus!” Warga desa tersedak mendengar kata-kata Mak Teratai. Memang kopi yang dihidangkan itu tidak bertapis tetapi kata-kata Mak Teratai lagi tidak bertapis. Ada juga yang tersembur kuih bangkit melihat Mak Teratai melemparkan pakaian Teratai ke arahnya.

Teratai hanya menangis kesedihan. Warga desa tercengang melihat lakonan semula babak dari filem Ibu Mertuaku yang begitu mantap dan menyentapkan. “Oh ye! Kalau aku mampus esok, tidak perlulah kau anak beranak datang. Aku haramkan rumah aku dari keturunan kau. Takut-takut aku mati tak dapat tutup mata. Takut-takut aku bangkit jadi hantu.” Warga desa tersentak lagi. Hantu-hantu ni jangan diceritakan di depan warga desa kerana mereka memang takut hantu. Ini kerana banyak sangat menonton cerita hantu dari seberang seperti Suster Ngesot, 40 hari bangkitnya pocong, Sundel Bolong dan banyak lagi.

Warga desa hanya mampu melihat Teratai dan Katak diperlakukan sebegitu oleh Mak Teratai. Maka berlalulah Katak membawa Teratai pulang ke rumahnya. Teratai yang mengenakan kebaya panjang berwarna merah jambu mengesat linangan air matanya dengan selendang putih yang tersangkut di bahunya. Teratai dengan berat hati melangkah pergi. Hancur hatinya melihat ibunya sendiri mengeluarkan kata-kata itu. Kata-kata yang tajam yang menghunusrobekkan hatinya.

Di dalam kamar, Mak Teratai tidak dapat menahan pilu. Luluh jiwanya. Mulutnya dirasakan penuh dengan tuba. Hatinya dirasakan penuh dengan racun. Rantai emas bungkal ditarik dari lehernya yang jinjang lalu dicampakkannya ke penjuru kamar. Gelang selebar satu inci itu dilemparkannya ke lantai. Mak Teratai terpandang selendang songket bunga tabur berwarna merah buatan Terengganu yang sepatutnya dihadiahkan kepada Teratai untuk majlis pernikahannya. Tapi bukan pernikahan Teratai dengan Katak. Bukan.

“Kenapa Teratai memilih Katak? Tidakkan dia tahu aku benci dengan Katak. Dia tidak sayangkah pada ibu saudaranya Kiambang yang mati di tangan Katak. Dia sudah lupakah apa yang telah dilakukan Katak terhadap Kiambang sehingga mati dalam keadaan yang hina. Kenapa Teratai sanggup buat begitu padaku?” Mak Katak terjerit-jerit sendiri mengenangkan nasib hidupnya sendiri.

bersambung…..


Responses

  1. Heish, dah jadi novelis ye.. hehe.. bagus2…

  2. alah…cuba-cuba je menulis ni…tapi mcm takde sambutan jer…

  3. ala… Jangan le cepat berputus asa… mana tau ada peminat senyap…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: