Posted by: syamsalleh | December 6, 2008

Teratai Demam (Bahagian 3)

Oleh : Syam Salleh

Katak masih ingat lagi hari itu. Hari pertama kesedihan dalam minggu yang paling duka dalam hidupnya. Pagi dimulai dengan sinaran sang suria menyinari Tasik Permai. Tiada siapa menyangka hari yang terang bisa menjadi gelap dengan seketika. Langit biru mula menghitam. Awan tidak lagi dapat membendung kandungannya lagi. Lalu turunlah hujan yang lebat dan kasar bentuknya.

Hujan itu rahmat bagi Tasik Permai tapi bala bagi penduduk kampung bersebelahan. Ramai yang telah bersiap-sedia untuk keluar dari kampung. Mereka harus menyelamatkan diri. Bah pasti datang kerana air telah pun naik mendadak. Lintang pukang mereka naik ke sampan. Berdayung mereka itu ke Tebing Tinggi. Tapi mereka harus melalui Tasik Permai kerana Tasik Permai kurang berarus tidak seperti Sungai Sempit. Jalan raya telah pun ditenggelami air.

Di Tasik Permai, ketika semua warga desa sedang mengadakan kenduri doa selamat kerana mensyukuri anugerah Ilahi kerana penurunan hujan, suasana menjadi kelam kabut. Bot-bot penyelamat datang dan pergi tanpa henti. Sampan-sampan didayung ke sana ke mari.

Habis pinggan mangkuk terjatuh ke dalam tasik. Angsa Desa berenang ketepian takut terkena muncung sampan dan bot.  Kelah sekeluarga terpaksa kembali ke lubuk kerana takut keselamatan anak-anaknya terkena enjin bot. Walaupun Kiambang bertaut kembali selepas berlalunya sampan, tapi dirinya tidak suka disentuh-sentuh sebegitu. Siapa tidak mengenali Kiambang yang menjadi ahli Sisters in Islam. Lantang bersuara tentang hak-hak wanita dan kaum ibu.

Dalam suasana kelam kabut itu berlakulah perkara yang tidak disangka akan terjadi. Pak Katak tiba-tiba terasa panas tapi basah di kepalanya. Cecair itu berwarna merah. Rupanya Pak Katak terkena ludahan sirih dari seorang nenek tua yang sedang berdayung sampan bersama-sama cucunya untuk menyelamatkan diri. Ludahan sirih beracun itu menyebabkan Pak Katak rebah tidak bermaya di atas Kiambang yang baru bertaut kembali.

“Pak Katak! Pak Katak! Kenapa ni? Bangunlah!”. Kata Kiambang yang juga terkena ludah sirih itu akibat Pak Katak tiba-tiba rebah ke badannya.

Pak Katak menarik nafas panjang. Rupanya itulah nafasnya yang terakhir. Pak Katak mati katak akibat terkena ludahan sirih beracun dari nenek kebayan itu. Sebenarnya tidak dapat dipastikan sama ada wanita tua itu nenek kebayan ataupun tidak tetapi itulah yang dibisikkan penduduk desa mengenai kejadian itu.

Perkara ini tidak pernah berlaku. Memang biasa katak mati dihempap pokok, dipijak binatang buas, dilanggar kereta mahupun ditangkap untuk dijadikan sup katak oleh Orang Asli yang mengambil upah dari pengusaha restoran Cina. Mati akibat diludah sirih memang tidak pernah berlaku.

Mak Katak meraung kesedihan. Air mata berlinangan kerana tidak dapat menahan sebak. Kematian suaminya begitu mengejut. Majlis kesyukuran bertukar menjadi majlis pengebumian. Doa selamat ditukar dengan bacaan tahlil. Pak Katak dikebumikan hari itu juga.

Menurut perkhabaran saksi yang melihat, Pak Katak menjelirkan lidahnya kepada nenek tua itu. Sebab itulah dia diludah. Umum mengetahui Pak Katak memang mempunyai tabiat yang buruk. Dia suka menjelirkan lidahnya kepada orang yang berperangai buruk dan yang bermulut jahat. Itulah caranya. Katanya dulu perkara yang jahat harus ditegah dengan perbuatan. Kalau tidak mampu hendaklah dengan lidah dan kalau tidak mampu bencilah dengan hati. Memang masyarakat desa tahu akan hal ini. Tidak salah mereka ini adalah hadis nabi yang telah disalahtafsir oleh Pak Katak.

bersambung…..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: